Saintis USM Temui KAPAL PURBA Di Kedah Tua Yang Bakal MENGEJUTKAN Rakyat Malaysia !!! | Para pengkaji di Tapak Arkeologi Sungai Batu, yang diiktiraf sebagai tapak tamadun manusia tertua di Asia Tenggara, telah menemui beberapa tinggalan kapal purba di sungai kuno yang pernah mengalir di kawasan bersejarah “Kedah Tua” itu ribuan tahun dahulu.
Penemuan tinggalan kapal-kapal purba di tapak arkeologi itu didedahkan Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid kepada Bernama baru-baru ini.
“Ada di dalam sungai kuno itu lima atau tujuh kapal atau tongkang lama. Tiang layar (kapal-kapal purba) itu pun sudah nampak. Kapal-kapal atau tongkang purba itu adalah 40 hingga 50 kaki panjangnya.
“Selama ini pengkaji-pengkaji mencari di kawasan bakau di pesisir pantai, tetapi apabila menggunakan teknologi satelit, (pengkaji) mengetahui di mana kedudukan asal sungai kuno itu,” katanya dalam temu ramah di pejabatnya.
Mohd Rawi berkata, pengkaji-pengkaji di tapak arkeologi terbabit menemui tinggalan kapal-kapal purba itu kira-kira setahun yang lalu tetapi tidak membuat sebarang pengumuman tentang penemuan itu sehingga kini.
Tapak arkeologi Sungai Batu terletak di ladang kelapa sawit berhampiran Sungai Petani, di mana para pengkaji sejak 2009 telah menemui pelbagai monumen yang disahkan berusia seawal 1,900 tahun (110 Masehi).
Usianya telah disahkan lebih tua berbanding candi-candi di Borobudur, Indonesia dan Angkor Wat, Kemboja, yang masing-masing dibina pada abad ke-9 dan abad ke-12.
Tinggalan-tinggalan kapal purba itu menurut Mohd Rawi, dikesan tertanam di dalam sebuah kawasan berpaya dan berselut di tapak arkeologi itu, yang ribuan tahun dahulu merupakan sebuah sungai kuno yang dalam dan luas.
“Pengkaji menyelam dan mereka melihat adanya struktur seperti sebuah kapal,” katanya dan menambah Tamadun Sungai Batu merupakan penemuan yang amat penting bukan sahaja kepada Kedah, tetapi juga Malaysia keseluruhannya.
Ditanya sama ada kerajaan negeri mahu melihat usaha menaikkan tinggalan kapal-kapal purba dimulakan, beliau berkata, perbincangan perlu diadakan kerana kos untuk menaikkannya dijangkakan amat tinggi.
Kerajaan negeri dan kerajaan pusat serta pelbagai agensi lain seperti Jabatan Warisan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang melakukan kajian di tapak arkeologi Sungai Batu itu perlu duduk bersama dan berbincang, katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin ketika dihubungi Bernama turut mengesahkan penemuan struktur-struktur yang dipercayai bangkai kapal-kapal purba itu.
“Kita menemui struktur-struktur itu yang dipercayai kapal purba itu ketika melakukan analisis Geofizik (di tapak arkeologi Sungai Batu). Bagaimanapun kita perlu melakukan lebih banyak analisis dan kajian sebelum dapat mencapai keputusan akhir,” katanya.
Ditanya tentang usia struktur itu jika ia disahkan adalah kapal-kapal purba, beliau berkata, ia berkemungkinan memiliki usia yang sama seperti Tamadun Sungai Batu itu sendiri.
Beberapa pengkaji yang ditemui oleh Bernama di tapak arkeologi Sungai Batu itu turut mengakui tentang penemuan tinggalan kapal purba itu, yang boleh disifatkan sebagai antara penemuan paling penting setakat ini.
Sejak menjalankan kajian di Sungai Batu itu, pasukan arkeologi USM telah membuat beberapa penemuan penting seperti relau melebur besi, jeti-jeti pelabuhan dan bangunan pentadbiran.
Bagaimanapun, penemuan terpenting adalah monumen bulatan disahkan telah dibina pada tahun 110 Masihi iaitu 1,900 tahun dahulu menggunakan teknik “Optically Stimulated Luminescence” (OSL), berkemungkinan berfungsi untuk tujuan ibadat bagi penganutnya yang mengamalkan kepercayaan Animisme. KREDIT BERNAMA.
baca selanjutnya dan lihat 6 gambar DISINI...
Artikel Menarik:
0 Komentar untuk "Saintis USM Temui KAPAL PURBA Di Kedah Tua Yang Bakal MENGEJUTKAN Rakyat Malaysia !!"