HANGZHOU - CHINA. Akibat terlalu ketagih dengan permainan video atas talian, seorang remaja hampir kehilangan kaki dan nyawanya sendiri apabila kakinya mula mereput.
Memetik laporan portal antarabangsa, Metro.co.uk, remaja tersebut yang berusia 19 tahun sanggup lari dari rumah semata-mata mahu menghabiskan masa di kafe internet.
‎Selepas enam hari tanpa makan dan minum, remaja tersebut dilaporkan rebah di landasan keretapi sebelum ditemui pihak berkuasa.
‎Ketika ditemui polis, kaki remaja tersebut dilaporkan berdarah, kelihatan mereput dan berbau busuk.
Remaja tersebut kemudiannya memberitahu pihak berkuasa kesemua wang sakunya telah dihabiskan untuk permainan atas talian dan dia tidak makan atau mandi sejak sekian lama.
Difahamkan lagi, remaja itu cukup bertuah kerana ditemui pihak berkuasa tepat pada masanya kerana bakteria di kakinya sudah merebak di dalam sistem tubuh dan hampir meragut nyawanya.